Sunday, September 1, 2013

Kemerdekaan 'For Granted'

Aku gagal. Untuk ke sekian kalinya. Gagal untuk bangkit dari lena malam dan janji manisku kepada diri sendiri untuk merasai gelora patriotisme yang diraikan istimewa pada 31 Ogos.

"Ahh lambat lagi! Macam mana nak pergi ke Dataran Merdeka ni?" getus hatiku ketika bangun dari kamar. Sejujurnya, aku tidak pernah menjejakkan kaki ke mana-mana sambutan kemerdekaan seumur hidupku ini. Jikalau pernah pun, aku tidak mempunyai sebarang memori mengenainya. Mungkin aku terlalu kecil ketika itu.

"Nampak gayanya tak sampai lagi hajat nak merasa celebration merdeka," keluhku dalam hati, seraya memandang ke arah tingkap yang telah mula ditembusi sinaran mentari pagi. Aku bingkas ke bilik mandi untuk membersihkan diri dan bersiap untuk aturcara berikutnya.

Usai bersiap, aku bergegas keluar dan memandu kereta ke pejabat untuk menyelesaikan tugas penting terlebih dahulu. Radiolah peneman setiaku ketika memandu. Aku menekan butang radio bersilih ganti untuk mendengar lagu yang sesuai dengan mood aku ketika itu.  Tatkala aku memutar siaran Mix FM, lagu Sudirman '31 Ogos' sedang berkumandang. Aku tersenyum sendiri dan terasa lebih bersemangat. Lagu itu seolah-olah meredakan perasaan ralatku yang terlepas peluang untuk merasai sendiri sambutan kemerdekaan di Dataran Merdeka. Kenapa aku teringin sangat nak pergi Dataran Merdeka?

"Kau takde kerja ke? And perlu ke nak pergi sana nak celebrate merdeka? Poyo la kau ni." Aku boleh membayangkan kata-kata sinis dan ejekan yang bakal dihamburkan kepada aku kelak. Aku ada jawapan aku tersendiri.

Merdeka. Dari aku kecil sehinggalah sekarang, perkataan itu tidak pernah lekang, baik dari percakapan mahupun penulisan. Ya, aku dilahirkan pada era post independence. Aku tidak mengenali erti kesusahan dan perjuangan untuk mencapai kemerdekaan. Aku tidak tahu perasaan getir atau berani apabila berhadapan dengan musuh-musuh bersenjata dan berperang demi mempertahankan tanah air. Aku tidak pernah merasa jiwa dan mentalku ditujah serta disogok bertalu-talu dengan kata-kata dan semangat patriotik untuk terus bersatu dan berhabis-habisan demi mencapai kemerdekaan nan satu, seperti generasi yang terdahulu. Pendek kata, banyak yang aku tidak tahu. Aku mungkin tahu kronologinya, tetapi aku tidak tahu perasaan-perasaan yang dilalui ketika itu.

Kemerdekaan bagiku dan orang-orang muda kini adalah kemerdekaan for granted. Kemerdekaan yang nikmatnya tersedia ada sebaik sahaja mata ini buat pertama kalinya melihat dunia. Aku cuba untuk menyelami perasaan-perasaan patriotik itu seperti 56 tahun yang lepas. Adakah kehadiran di Dataran Merdeka mampu mengembalikan perasaan itu? Aku tidak pasti tetapi aku fikir tidak salah untuk mencuba. Adakah dengan menghadiri pesta countdown atau ambang kemerdekaan ini membantu untuk menambahkan lagi rasa cinta dan sayangku kepada negara ini?

Fikiran aku melayang jauh. Aku beredar dari pejabat dan terus mencari tempat untuk mengalas perut. Sambil memandu, aku terpandang sepasang kanak-kanak yang memakai baju bercorak bendera Malaysia sedang berjalan ditemani ibu bapa mereka ke arah stesen KTM. Kaget. Aku terus memandu lagi dan akhirnya sampai ke destinasi yang ingin dituju.

Hujan mula membasahi bumi dan aku sedang duduk sambil enak menikmati minuman latte yang dipesan. Fikiran aku terus kembali kepada persolan terakhir. Aku mula mengimbang pro dan kontranya, tetapi nyata aku mempunyai pandangan aku tersendiri. Dentuman dan percikan bunga api yang berwarna-warni sejurus countdown pukul 12.00 tepat tengah malam menandakan 31 Ogos sememangnya menambahkan keceriaan tetapi mungkin belum cukup kuat untuk aku berasa lebih patriotik.

Aku membuat konklusi. Patriotisme aku mungkin bukan terletak pada fizikal atau serupa semangat juang generasi terdahulu. Patriotisme aku lebih bersifatkan rasa prihatin, usaha yang gigih, rasa syukur dan tidak lupa akan jasa pejuang-pejuang kemerdekaan. Aku prihatin dengan orang-orang yang terdekat dan sekelilingku, sama ada waktu senang atau susah. Aku prihatin dengan perkembangan negara walau dalam keadaan apa sekali pun. Aku akan sentiasa gigih berusaha untuk mencapai yang terbaik buat diriku, yang juga boleh mendatangkan kebaikan kepada orang lain dan masyarakat, walaupun ia mungkin tidak segah mana. Aku akan sentiasa beringat dan tidak akan melupakan sewenang-wenangnya segala kesusahan nenek moyangku dalam usaha mereka melepaskan cengkaman kuasa asing ketika itu. I may not be able to change the entire world, but I can improve myself for betterment. Aku akan cuba untuk menjadi aku yang lebih baik daripada sebelum ini. Orang Malaysia yang sebenar.

Ya, kemerdekaan yang ku rasai hari ini kemerdekaan yang for granted but it should not be taken for granted. Aku rasa aku tidak sekuat pejuang-pejuang dan rakyat-rakyat terdahulu yang berkeras dan berjuang habis-habisan menuntut kemerdekaan daripada penjajah. Sementelah mendengar kisah lama nenek ku yang pernah bercerita bahawa wanita-wanita ketika itu terpaksa mencoreng wajah mereka dan berpakaian serbah-serbih supaya tidak 'ditawan' oleh musuh ketika itu. 

"Here is your bill," lamunanku tersentak apabila pelayan warga asing itu menyapaku sambil menghulurkan bil yang perlu ku bayar. Terus aku keluarkan dompet dan membayar jumlah dikehendaki.

Mentari mulai terbit. Aku melangkah keluar dari kedai dengan jiwa yang lebih merdeka. Berada di Dataran Merdeka atau tidak, semangat patriotik dalam diri aku lebih daripada apa yang aku sangkakan, walaupun kemerdekaan yang aku kecapi hari ini kemerdekaan yang for granted

Selamat Hari Jadi Malaysia, tanah tumpahnya darahku.

"...merdeka itu bukanlah suatu benda yang mudah boleh didapat, melainkan ialah dikehendaki untuk mendapatkannya itu iaitu pengorbanan yang sebenar pengorbanan." - Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia Yang Pertama

3 comments:

Microscopasia said...

Nice posting.
Salam Merdeka

Microscopasia said...

Nice posting.
Salam merdeka

Unknown said...

Thank you M.R Danial :) Salam Merdeka to you too